LAWATAN DELEGASI APTIKOM KE IVI
Tarikh: Khamis, 18 Disember 2025
Tempat: Auditorium, Akademia Siber
Teknopolis, UKM
UCAPAN ALU-ALUAN
PENGARAH IVI
KEPADA PESERTA APTIKOM
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang
Berbahagia Pengerusi APTIKOM,
Yang Berusaha barisan kepimpinan APTIKOM,
Yang Berbahagia
Prof Ir. Dr Anton Satria Prabuwono
Yang Dihormati para delegasi, ahli akademik, rakan industri, serta para peserta
sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan selamat datang kepada semua peserta
APTIKOM. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini amat bermakna dan
mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik
antara institusi pengajian tinggi, khususnya dalam bidang teknologi maklumat,
pengkomputeran dan disiplin berkaitan.
Majlis ini menjadi lebih signifikan dengan penganjuran
sesi menandatangani Letter of Intent (LoI), yang melambangkan
hasrat dan komitmen awal semua pihak untuk menjalin kerjasama akademik dan
penyelidikan secara lebih tersusun, berfokus dan berimpak tinggi.
Sehubungan itu, pihak kami amat berbesar hati untuk
menyatakan persetujuan bagi menggembleng usaha terbaik ke arah pembangunan
pelbagai bentuk kerjasama, antaranya:
·
Pertama,
pertukaran pelajar bagi tujuan penyelidikan dan pengajian, yang diyakini mampu
memperkayakan pengalaman akademik serta pendedahan antarabangsa pelajar.
·
Kedua,
pertukaran ahli akademik dan tenaga pengajar bagi memperluas perkongsian
kepakaran, pemindahan ilmu serta amalan terbaik dalam pengajaran dan
penyelidikan.
·
Ketiga,
pertukaran bahan penyelidikan dan pendidikan, termasuk penerbitan serta
maklumat akademik, bagi menyokong pembangunan ilmu yang berterusan.
·
Keempat,
penganjuran dan penyertaan bersama dalam seminar, simposium, program jangka
pendek serta mesyuarat akademik yang mampu merancakkan wacana ilmiah dan
inovasi. IVIC 2027.
·
Kelima,
pelaksanaan projek penyelidikan bersama yang memberi tumpuan kepada
penyelesaian masalah sebenar serta keperluan industri dan masyarakat.
·
Keenam,
pelaksanaan serta pertukaran program latihan industri (internship) bagi
meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kesediaan mereka menghadapi alam
pekerjaan; DAN
·
Ketujuh,
sebarang bentuk kerjasama atau aktiviti lain yang dipersetujui bersama oleh
semua pihak dari semasa ke semasa.
Kami yakin bahawa pemeteraian Letter of Intent
ini akan menjadi asas kukuh kepada kerjasama jangka panjang yang lebih
strategik, mampan dan saling menguntungkan, serta menjadi pemangkin kepada
pelaksanaan Memorandum Persefahaman
(MoU) pada masa hadapan.
Akhir
kata, saya berharap agar majlis dan sesi menandatangani Letter of Intent
ini dapat berjalan dengan lancar serta menjadi titik tolak kepada kolaborasi
yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi. Semoga segala perancangan yang
dirintis hari ini akan direalisasikan dengan jayanya demi kemajuan pendidikan
tinggi dan pembangunan modal insan negara.
Pergi ke taman memetik melati,
Melati putih harum baunya;
Kerjasama terjalin erat dan murni,
Menjadi asas kecemerlangan bersama.
Jika berlayar menuju seberang,
Jangan dilupa arah dan tujuan;
Hasrat terukir melalui persefahaman,
Kerjasama diperkukuh demi masa hadapan.
Sekian,
terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment