Sunday, 21 September 2025

UCAPAN PENERIMAAN JAWATAN : Riza bin Sulaiman

 


UCAPAN PENERIMAAN JAWATAN PENGARAH DAN PENGHARGAAN KEPADA MANTAN PENGARAH

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam hormat kepada semua.

Dari Pekan ke Masjid Tanah,
Bawa bekalan sekarung lokan;
Saya dipanggil memikul amanah,
Mohon sokongan, kita jayakan.

Segala puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya diberikan amanah dan kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Pengarah. Saya menyedari bahawa ini bukanlah satu penghormatan semata-mata, tetapi satu tanggungjawab besar yang perlu saya pikul dengan penuh amanah, dedikasi dan keikhlasan.

Setiap kali saya diberi amanah, saya akan kongsikan pegangan saya daripada ucapan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. ketika dilantik menjadi Khalifah, beliau telah berkata:

"Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku berlaku baik, bantulah aku; jika aku bersalah, betulkanlah aku. Kebenaran itu adalah amanah, dan kebatilan itu adalah khianat."

Ucapan ini mengingatkan saya bahawa kepimpinan adalah suatu amanah yang perlu dipandu oleh nilai keadilan, ketelusan dan rasa tanggungjawab terhadap orang yang kita pimpin. Tidak patut ada cakap-cakap belakang kerana ini bukan ajaran agama kita. Saya mohon agar semua warga IVI sentiasa menegur dan menasihati saya sekiranya saya tersilap langkah, tegur secara berhemah dan berhadapan. serta bersama-sama berganding bahu dalam membawa organisasi ini ke arah kecemerlangan.

Insya Allah aka nada beberapa amalan kepimpinan Islam yang saya amalkan, di antaranya :

  • ·       Memudahkan dan bukan menghukum (Facilitate and not Penalise).
  • ·       Mengenal pasti kekuatan individu dalam pasukan (Identify strength of individual in team).

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Pengarah, Prof. Madya Dr Rabiah Abd Kadir, atas kepimpinan cemerlang beliau sebelum ini. Sumbangan, idea dan usaha beliau telah meninggalkan kesan yang sangat bermakna dan menjadi asas kukuh kepada perjalanan kita seterusnya. Semoga segala jasa beliau diberkati dan terus menjadi inspirasi kepada kita semua.

Kayuh perahu di tengah bendang,
Bawa bekalan berkongsi makan;
Berat sama kita pikul dan galang,
Ringan sama kita jinjingkan.

 Akhir kata, saya berharap agar segala usaha yang bakal kita laksanakan akan dipermudahkan dan diberkati Allah SWT. Marilah kita terus bekerjasama dengan semangat yang tinggi demi mencapai visi dan misi IVI kita.

 Sekian, terima kasih.

 Prof. Ir. Dr. Riza bin Sulaiman


UCAPAN PENERIMAAN JAWATAN : Riza bin Sulaiman

  UCAPAN PENERIMAAN JAWATAN PENGARAH DAN PENGHARGAAN KEPADA MANTAN PENGARAH   Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera da...